Penulis yang daif ini berasa ingin berkongsi satu luahan hati kepada teman-teman.Penulis berharap dengan luahan ini mampu membuatkan pembaca berfikir tentang satu hal penting yang sebenarnya menjadi teras dalam agama.
Ujian midsem akan berlangsung tidak lama lagi.Rasa-rasanya baru sahaja selesai ujian yang lepas,kini digegarkan lagi dengan ujian mid sem ini.Kalau ini adalah liku-liku suratan seorang yang menuntut ilmu maka Ya Allah,berikanlah kekuatan padaku dan teman-teman dan permudahkan perjalanan kami dalam mencari cahaya-mu.
Semasa penulis bersama rakan-rakan duduk berbincang tentang jawapan soalan past year,tiba-tiba hati penulis berasa sesuatu yang agak merunsingkan.Penulis dapat melihat bagaimana persiapan seorang penuntut ilmu dalam menyiapkan diri mereka dalam menduduki hari peperiksaan.Terima kasih kepada teman-teman kerana penulis selama ini mencari hakikat kebenaran dan akhirnya Allah telah menghantarkan kefahaman itu melalui tindak tanduk dari kalian.
Selama ini penulis berusaha mencari hakikat keimanan.Hati penulis sering bertanya,apakah itu keimanan.Bagaimana bentuk keimanan dan cara yang mana membuktikan keimanan.
Allah maha penyayang dan maha memberi.
Allah akhirnya menurunkan pengetahuan itu di depan mata hati penulis sendiri.
Dalam penulis bersama teman-teman berbincang tentang soalan-soalan past year itu,hakikat itu makin nampak dan makin jelas laksana terangnya matahari dan terangnya bulan di malam hari.Dari situ penulis telah belajar sesuatu yang sangat istimewa yang menjadi pencarian penulis selama ini.
Teman-teman,tahukah kita yang kita sebenarnya sangat beriman kepada hari peperiksaan.
Mari kita lihat kepada definisi iman.
Iman adalah yakin di dalam hati,mengucapkan dengan lisan dan membuktikan dengan amal perbuatan.
Mari kita lihat kondisi kita dalam menghadapi hari peperiksaan.
Mulut kita sering mengucapkan tentang hari peperiksaan.Sebagai contoh soalan-soalan yang sering kita dengar:
- tak lame lagi nak exam ni.aku tak study ape-ape lagi.
- kau mesti da banyak study kan.jangan tipulah.aku ni tak sentuh ape-ape lagi.
- kau dah ade soalan past year tak.mulia abadi dah ade dah.pegila beli.kite buat same-same.
- takutnye nak exam ni
- exam kali ni aku nak buat yang terbaik
Mari ditinjau pula dari amal perbuatan kita dalam menyiapkan diri untuk hari peperiksaan.
- dari jauh kelihatan teman-teman kita memegang buku yang tebal dan soalan-soalan past year
- seperti di rumah penulis dan rumah teman-teman lain,kami sudah membuat jadual untuk berbincang soalan past year.
- tidur pun sudah menjadi sedikit.
- hobi yang diminati pun terpaksa ditunda.penulis dan teman-teman bakal menunda untuk main badminton.
- buku-buku telah bersepah di sana sini akibat dari pembacaan yang begitu dasyat.
Inilah antara amal-amal yang dibuktikan seorang penuntut ilmu dalam mana menyiapkan diri mereka untuk berjaya melepasi hari peperiksaan dengan cemerlang.
Dari segi keyakinan hati tentang akan berlakunya hari peperiksaan pula tidak dapat disangkal oleh kita.Ini sebab,ucapan dan amal perbuatan seorang penuntut ilmu itu telah membuktikan yang mereka sangat yakin yang hari peperiksan itu akan benar-benar berlaku.
Mungkin contoh-contoh yang penulis berikan adalah begitu kecil jika dibandingkan dengan situasi sebenarnya.Sememangnya jika kita lihat keyakinan,ucapan dan amal-amal yang dilakukan,sangat berbeza dari hari sebelum peperiksaan dengan sesudah peperiksaan.
Begitu cepat kita berubah,dari mana kekuatan tersebut yang mampu menggerakkan tubuh kita untuk sebegitu dasyat.
Kekuatan ini sebenarnya datang dari hasil keimanan kita yang mantap dalam mempercayai kewujudan hari peperiksaan.
Sahabat-sahabat rasullulah adalah manusia seperti kita,tetapi mengapa mereka mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam mengabdikan diri mereka kepada penciptanya.Jawapannya sama teman-teman.Kekuatan ini diperoleh dari keimanan yang kuat dan kukuh tentang janji-janji penciptanya.
Mereka juga beriman seperti kita pada satu hari yang merungsingkan itu,tetapi hari yang mereka rungsikan bukan hari peperiksaan tetapi hari akhir yang segala pengadilan akan berlaku di hadapan tuhan mereka.
persoalannya...
Jika kita kata diri ini beriman kepada Allah dan hari pembalasan.Mengapa tindak tanduk kita dalam mempercayai kewujudan Allah dan kebenaran hari pembalasan tidak seperti kepercayaan kita pada hari peperiksaan.
Sedangkan kita semua setuju yang keimanan itu adalah melalui hati,ucapan dan amal.
Penulis berasa yang penulis dan teman-teman semua sangat beriman kepada hari peperiksaan.
Alhamdullilah kita ucapkan kepada Allah kerana memberikan kita keimanan kepada hari peperiksaan yang mampu membuatkan kita berusaha supaya mendapat hasil yang cemerlang.
Cuma yang membuatkan hati penulis berasa sayu dan sedih adalah adakah kita ini benar beriman kepada Allah dan hari pembalasan.
kalau kita ucapkan YA.
Mengapa usha kita tidak seperti usha dalam menyiapkan diri menghadapi hari peperiksaan.Sedangkan hari peperiksaan itu kita mengetahui bila akan diadakan,tetapi saat malaikat izrail yang datang menjemput adalah satu tanda tanya bagi kita..
BILAKAH IZRAIL AKAN MENJEMPUT AKU
Sepatutnya kita lebih berusha lagi kerana saat maut itu dirahsiakan kepada kita.
Kalaulah hari peperiksaan itu dirahsiakan.Semestinya kita akan dapat lihat bagaimana ketekunan seorang penuntut ilmu ini dalam menyiapkan diri mereka.
Tetapi bagaimana pula kita sebagai seorang hamba Allah.adakah kita beriman kepada Allah dan hari pembalasan.renungkan...
Teman-teman mari kita mengambil sedikit masa berfikir tentang hal penting yang kita tidak sedari ini.Jika kita mempunyai strategi dalam menghadapi hari peperiksaan maka apatah lagi dengan hari pembalasan.sepatutnya strategi yang dilakukan mestilah lebih mantap dan berterusan.
Maafkan penulis jika dalam luahan hati penulis ini begitu banyak kekurangan.Luahan hati penulis ini akan ditujukan lebih kepada diri penulis sendiri.
0 comments:
Post a Comment