Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:

Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir.Hampir kehausan membunuhnya.Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut.Dia diampunkan disebabkan kejadian itu

(Riwayat al-Bukhari).

Semalam saya baca artikel di blog dr.Asri (minda tajdid) tentang Pelacur,Anjing dan Kehidupan.Tidak sangka pemahaman saya mengenai hadis ini ada yang membahaskan.
Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil melalui hadis ini.Antaranya ia boleh digunakan untuk memberi gambaran kepada satu sikap manusia yang suka menghukum sesama manusia.Hukuman yang diberikan hanya terbatas kepada apa yang dilihat sahaja.Tetapi tak mengapa,manusia sama sekali tidak akan mampu memberi manfaat malah mendatangkan keburukan sama sekali.

Allah maha mengetahui.

Saya ambil sedikit bahagian dari ulasan dr.Asri ini untuk dikongsikan bersama.

HINA DAN MULIA

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun.

Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.

BANYAK DAN SEDIKIT

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu.

Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.
Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.


INSAFI DIRI

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Manusia mudah sekali untuk menghukum.Setiap insan tidak sama ujiannya.Pengadilan Allah terhadap manusia adalah sesuai dengan kekuatan yang diberikan.

Rasulullah saw. bersabda, “Berbuatlah sesuai dengan kemampuanmu..'

Sebagai contoh,iman dan kekuatan yang ada pada diri pelacur tadi tidak sama dengan iman dan kekuatan seorang ulama.Mungkin bagi ulama nilai memberikan air kepada anjing tersebut sesuatu yang sungguh mudah tetapi bagi pelacur sungguh berat akibat posisi imannya yang sangat tipis.


Satu lagi contoh,kekuatan yang diberikan kepada hamba A sebanyak 1000 manakala hamba B sebanyak 10 tetapi hamba A tadi berjaya mengambil 10 darinya dan hamba B mampu menggunakan 5 dari kekuatan tersebut.Dari kaca mata manusia sudah pasti yang baik itu adalah hamba A kerana nilainya lebih besar dari hamba B.Inilah kelemahan penilaian manusia.Sedangkan jika dibandingkan sepatutnya hamba A mampu untuk menggunakan kekuatan yang diberikan itu lebih banyak lagi.walaupun hamba B hanya 5 tetapi jika dibandingkan dia mampu menggunakan separuh kekuatannya.

Adakah ganjaran amal tersebut sama bagi seorang ulama dan pelacur tadi.Semestinya tidak.

Rasullulah SAW bersabda: “Sesungguhnya balasan terbesar dari ujian yang berat..

Berkemungkinan dengan kondisi iman yang sangat tipis maka pemberian air kepada anjing itu adalah satu hal yang sangat berat untuk dilakukan.Usha pelacur itu boleh kita bandingkan dengan pengorbanan ulama yang masuk ke medan perang.Apabila ia berjaya melakukannya ia ibarat seperti seorang ulama yang masuk ke medan pertempuran.Semuanya dikembalikan kepada Allah kerana DIA yang maha adil dan maha bijaksana.

Sikap menghukum dan mengadili sebenarnya tidak layak bagi manusia.Tugas manusia adalah apabila melihat sesuatu yang salah selayaknya membantu dan menasihati.Bukannya selesa dan ambil jalan mudah dengan memberikan cemuhan.

1 comments:

para pencariMu said...

sekadar perkongsian..walaupum mungkin tiada kaitan ngn post..

Manusia itu memang dilahirkan mempunyai sifat pelupa..mudah lalai dengan kesenangan duniawi..memang..ada masanya kita ingin melakukan yang terbaik dalam hidup..kita ingin menjadi menjadi manusia yang hebat..tapi kita lupa untuk menilai suatu perkara..apakah kita ingin hebat di mata manusia ataukah ingin hebat pada pandangan mata Ilahi?

Hebat di pandangan mata manusia memerlukan kita melakukan perkara yang besar..yang boleh dilihat dan dikagumi oleh pandangan mata kasar manusia..yang kadang-kadang kita sendiri keliru mengapa kita sanggup melakukan sedemikian rupa..tapi hebat di pandangan mata Allah..tidak memerlukan kita melakukan perkara yang besar..berbekalkan niat yang ikhlas,hati yang bersih..perkara kebaikan yang sebesar zarrah sekali pun menjadi asbab untuk kita menjadi hebat pada pandangan Allah..

Cuba memuaskan pandangan mata manusia menjadikan kita letih,penat dan mudah berputus asa..adakalanya membuat kt jarang berpuas hati..tapi cuba menjadi hebat pada pandangan Allah..membuat kita akan lebih bersemangat untuk menempih hidup ini..jadi pilihan di tangan kita..

Pandangan manusia atau pandangan Allah..?


Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails
© 2009 - menuju perubahan | Free Blogger Template designed by Choen

Home | Top