mengapa aku dilaknat dan dia dirahmat


Aku dilaknat sebegini manakala dia mendapat keredhaan dan rahmat dari yang maha pencipta.

Mari sama-sama kita renungi luahan ini dan cuba meneliti bagaimana perjalanan kehidupan kita seharian.


Allah mengulangi kisah Adam dan Iblis di beberapa tempat di dalam al-Quran. Kisah ini adalah tonggak panduan kepada kehidupan manusia atas muka bumi ini kerana disinilah bermulanya hidayah dan kekufuran


Ringkas ceritanya Iblis yang enggan memberikan penghormatan kepada Adam seperti mana yang Allah perintahkan. Bahkan dia mempertikaikan arahan tersebut. Lantas dia dihukum kufur dan dilaknat.


Sementara Adam yang ditempatkan di syurga, kemudiannya telah ditipu oleh Iblis yang menyebabkan dia melanggar arahan Allah dan mendekati pokok larangan. Kesannya, dia dihukum dengan ditempatkannya di atas muka bumi namun disertai dengan keampunan dan rahmat Allah.


Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 34-37:


34 : (maksudnya) Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”, lalu mereka semua tunduk melainkan Iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah dia daripada golongan yang kafir.


35 : Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah daripada makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada golongan zalim.


36 : Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.


37 : Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.


Pada mereka yang tidak faham kisah ini mungkin menganggap adanya sikap tidak adil dalam hukuman Tuhan terhadap dua makhluknya. Setiap mereka telah melakukan satu kesalahan, tetapi yang satu dihukum begitu berat sehingga kiamat, sementara satu yang lain dihukum dengan hukuman yang tidak kelihatan terlalu berat, bahkan diampun dan dirahmati.


Sekali pandang tanpa penelitian, mungkin ada yang tersalah anggap, seakan Iblis memang sengaja hendak dihukum demikian rupa, sedangkan Adam pula diampunkan, padahal sama-sama melakukan satu kesalahan.



Sebenarnya tidak! Sama sekali tidak sama antara kesalahan Iblis dan Adam. Iblis menderhakai Allah atas kesombongan dan ketakaburan. Dia bukan sahaja tidak taat kepada arahan Allah, tetapi dia mencabar peraturan atau hukum yang telah Allah tetapkan. Dia menganggap hukum itu tidak wajar, sekaligus dia mencabar kemutlakan hak Allah dalam menetapkan hukum.


Sementara Adam melakukan penderhakaan disebabkan kecuaian, kesilapan dan mengikut perasaan sehingga melupai hukum. Dalam Surah al-A’raf, Allah menceritakan bagaimana jawapan Iblis terhadap penderhakaannya, firman Allah: (maksudnya):


“Apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika Aku perintahkanmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah”.

(ayat 12).


Namun Adam yang juga bersalah tidak pernah mencabar peraturan Allah. Adam tidak pernah menyatakan bahawa kewujudan pokok berkenaan di syurga amat tidak sesuai dan boleh mengelirukan maka dia tidak patut dianggap bersalah. Tidak pula Adam mempertikaikan mengapa Iblis itu diwujudkan dan diberi peluang menggodanya.



Sebaliknya, dengan penuh keinsafan dan perasaan kehambaan akur atas kesalahan diri lantas memohon keampunan dan taubat. Dalam Surah al-A’raf juga Allah menyebut:


Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalaulah Engkau tidak mengampunkan kami dan kasihani kami, nescaya kami tergolong daripada orang-orang yang rugi”.


Kesalahan memang kesalahan. Namun titik tolak kesalahan dan sikap atas kesalahan amat berbeza antara Iblis dan Adam. Iblis bukan sahaja menderhaka, bahkan mempertikaikan atau meremehkan peraturan Allah.


Sedangkan Adam dan isterinya, apabila melakukan dosa, menginsafi diri dan memohon keampunan Allah atas dosa tersebut. Justeru itu, hukuman Allah ke atas dua makhluknya tersebut tidak sama disebabkan perbezaan nilai kesalahan.


Kisah Iblis dan Adam diulang berkali-kali dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran dalam kehidupan. Setiap ulangan ada isu dan pengajarannya yang tersendiri. Kita seperti bapa kita Adam, terdedah kepada salah dan silap, cuai dan alpa yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam dosa.


Namun, seperti mana bapa kita Adam, kita tidak akan mempertikaikan hukum atau peraturan yang Allah tetapkan. Kita akui kelemahan diri, tanpa kita menghalalkan kesalahan dan dosa dengan alasan yang menunjukkan kita meremehkan hukum Tuhan.


Kita bukan Iblis yang apabila berdosa bersikap takabur dan enggan akur atas kelemahan diri, sebaliknya menuding sesalahan kepada peraturan yang Allah tetapkan. Sesiapa yang bertindak seperti Iblis, maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang bersikap seperti Adam, maka dia mendapat keampunan tuhannya.


Allah menceritakan kisah bapa kita Adam, agar kita mencontohinya apabila melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan bukan perkara yang paling menimbulkan kemurkaan Allah, tetapi enggan akur dan bertaubat itulah membawa kemurkaan besar di sisiNya.


Kita anak Adam, teladani sikap bapa kita. Sabda Nabi s.a.w.


“Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat”


(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails
© 2009 - menuju perubahan | Free Blogger Template designed by Choen

Home | Top